Pages

20 February 2012

Untuk Apakah Anda Membayar Jurufoto Perkahwinan Anda?


Ini adalah artikel saya yang pernah disiarkan dalam majalah Pesona Pengantin. Artikel ini sesuai dijadikan panduan kepada jurufoto untuk menjustifikasikan harga perkhidmatan mereka kepada pelanggan.

Apabila anda mengupah seorang jurufoto untuk merakamkan gambar majlis perkahwinan anda, beliau akan mengenakan sejumlah harga tertentu bagi perkhidmatannya. Sekiranya anda tidak memahami akan proses yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, anda tentu akan menganggap harga yang dikenakan adalah terlalu mahal. Berikut saya senaraikan 5 kos utama yang sebenarnya terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan:

1) Kos Peralatan Kamera
Untuk menghasilkan gambar perkahwinan yang baik memerlukan kamera yang berkualiti. Satu set kamera digital yang baik berharga dalam lingkungan RM10,000-RM20,000. Selain dari kos pembelian, kos penyelenggaraan peralatan juga diambil kira. Set kamera ini perlu dinaiktaraf, diservis dan diperbaiki jika berlaku kerosakan. Peralatan digital mengalami susut nilai yang lebih cepat berbanding peralatan kamera analog. Dengan mengambil kira semua kos inilah jurufoto mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan mereka. Ini bermakna, selain mengupah jurufoto, anda juga sebenarnya membayar kos ‘sewa’ peralatan mereka.

2) Kemahiran Jurufoto
Untuk menjadi seorang jurufoto yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai kemahiran fotografi yang baik. Selain dari itu, jurufoto juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti kreativiti, pandai berkomunikasi, mempunyai citarasa yang baik dan kemahiran lain. Kemahiran ini hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan, latihan dan pengalaman yang memakan masa bertahun-tahun lamanya. Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurufoto itu, semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya.

3) Masa Perkhidmatan
Jurufoto adalah seorang profesional. Ini bermakna, beliau hanya akan mendapat bayaran dari kerja perkhidmatan yang dilakukan. Seseorang jurufoto cuma boleh merakam gambar untuk satu majlis sahaja pada sesuatu masa. Ini bermaksud, masa adalah satu faktor yang amat bernilai kepada seseorang jurufoto. Dengan itu, jurufoto mengenakan harga untuk perkhidmatannya berdasarkan berapa lama masa yang perlu diambil untuk sesuatu tugasan.

4) Perkhidmatan Selepas Rakaman
Setelah jurufoto selesai merakam gambar untuk majlis perkahwinan anda, tugas beliau sebenarnya tidak habis di situ sahaja. Beliau perlu menyunting kesemua gambar yang telah dirakam dengan memilih gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang terpilih akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman, komposisi dan sebagainya. Seterusnya, barulah gambar anda tadi akan dicetak. Selepas cetakan gambar siap, jurufoto akan meneliti kembali kualiti cetakan gambar. Gambar yang tidak sempurna akan dicetak kembali agar mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Proses ini boleh memakan masa beberapa hari.

5) Kos material
Selain dari kos perkhidmatan yang disebutkan di atas, kos material juga terlibat dalam menentukan harga perkhidmatan seseorang jurufoto. Antara kos material yang terlibat ialah kos pengangkutan, cetakan gambar, album, kos promosi serta lain-lain kos peniagaan.

Dengan mengetahui kos sebenar yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, diharap anda akan lebih menghargai peranan seorang jurufoto walaupun anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar perkhidmatannya. Walau apa pun, sememangnya berbaloi untuk membelanjakan wang kepada sesuatu yang boleh anda tatap sehingga ke akhir hayat. Tambahan pula, ianya adalah gambar hari yang paling bahagia dalam hidup anda.

Artikel oleh: Hasnuddin Abu Samah (Adan Cameraworks/FOTOTEACHER.COM)

Saya akan mengadakan Kursus Fotografi Perkahwinan tidak lama lagi. Banyak panduan dan rahsia akan didedahkan di dalam kursus ini, hasil pengalaman saya selama lebih dari 15 tahun merakam gambar perkahwinan. Untuk maklumat lanjut, sila layari - http://fototeacher.com/kfp.htm

No comments: